Sebenarnya diri kita juga boleh dilihat dengan empat pandangan – pandangan mata biasa, pandangan akal, pandangan nafsu, pandangan hati (mata hati). Cuba bayangkan, kita di hadapan cermin. Bila kita memandang dengan pandangan biasa (hari-hari kita memandangnya begitu), kita akui itulah diri kita. Kemaskan rambut, betulkan tudung atau rapikan baju, lalu kita berlalu. Itulah pandangan mata biasa.
Pandangan mata:
Tetapi ada orang yang melihat dirinya dengan pandangan akal. Bagaimana?
Dengan akal fikiran, berlakulah analisa diri sendiri terhadap wajah yang dipantulkan oleh cermin. Ah, semakin tembam aku ini. Semakin putih wajah ku. Oh, sudah ada garis-garis kedut di pelipis mata. Begitulah hasil analisa akal menerusi pandangannya. Hasil pandangan itu, kita pun bertindak mengurangkan berat badan, membetulkan kedudukan pakaian, menggunakan bahan kosmetik untuk merawat wajah dan berazam untuk memulakan diet atau senaman.
Pandangan nafsu:
Diri kita juga boleh dilihat dengan pandangan nafsu. Katalah, kita masih pada usia muda (remaja). Muda hanya sekali, begitu bisik pandangan nafsu. Jangan disia-siakan peluang yang datang hanya sekali ini. Maka nafsu yang sentiasa merangsang kepada kejahatan ini akan memberi ‘nasihat’ jahatnya. Mana lagi disko, dangdut dan tempat-tempat pelesiran yang belum didatangi. Tunggu apa lagi, ayuh pergi! Begitulah pandangan nafsu oleh orang muda.
Bagi orang yang telah tua pula, pandangan nafsu ada helahnya tersendiri. Eh, engkau belum tua lagi. Apakah kau lupa, ‘life begin at forty. Man like wine…” Akibatnya, orang tua tidak merasa tua lagi – miang-miang keladi, makin tua makin jadi. Maksiat terus diratah sebanyak-banyak dan secepat-cepatnya, seolah-olah pasukan bola yang memburu gol pada waktu kecederaan. Bila diingatkan, datuk dah senja ni… Dia tidak akan menerimanya bahkan istilah orang tua kerap ditukar menjadi orang lama. Ya, mungkin situa yang didominasi pandangan nafsunya ini, sudah pencen dalam kerjayanya tetapi belum pencen dalam melakukan dosa.
Pandangan hati (mata hati):
Bagaimana pula orang yang melihat dirinya dengan pandangan mata hati? Orang muda akan menghargai umurnya dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Muda bukan sekali, tetapi dua kali. Begitu bisik hatinya. Kali pertama ialah umur muda di dunia yang bersifat sementara. Manakala muda kali kedua ialah muda di dalam syurga yang abadi selamanya (menurut sesetengah ulama umur ahli syurga sekitar 30’an).
Orang muda yang dipengaruhi oleh pandangan mata hati ini insaf bawa muda adalah saat terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka ini sedar bahawa antara soalan yang akan ditanyakan di padang Mahsyar nanti ialah, ke mana umur muda mu kamu habiskan? Allah tidak bertanyakan umur tua… ini kerana umur muda adalah ‘prime time’ (masa yang sangat berharga) untuk seseorang manusia, dan alangkah baiknya jika ‘aset’ yang sangat berharga ini diserahkan kepada Allah? Bukankah itu petanda kita benar-benar mencintai-Nya?
Lalu hati orang muda itupun berazam, jika demikian aku akan gunakan umur muda yang sementara ini untuk mendapat umur muda yang kekal abadi di syurga. Demikianlah azam orang muda yang memandang dengan pandangan mata hati. Lalu dia akan menyegerakkan amalan kebaikan, tidak menangguh-nangguhkan taubat dan meninggalkan kejahatan. Usia muda dianggap sebagai satu kesempatan bukan satu penangguhan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Allah suka orang yang bertaubat, tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat.”
Manakala orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati pula akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan ‘berpatah arang’ dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka. Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat. Tumpuan utama hanyalah mengejar masa. Imam Safie r.m. misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat. Orang keliling kehairanan, justeru Imam Safie adalah seorang yang masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah yang tepat dan penunggang kuda yang cekap?
Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa dia bertongkat, Imam Safie berkata, “ tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah ku terima selama ini. Aku tidak perlukan lagi… Tumpuan sepenuh hati ku sekarang ialah menuju Allah!” Demikian ‘orang tua’ yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati. Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Safie tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat ‘pengingat’ seperti beliau, sebaliknya mencari tongkat ‘penggiat’ – tongkat Ali!
Bagaimana? Setiap kali kita memandang wajah di cermin, kita melihat dengan pandangan yang mana? Pandangan mata, akal, nafsu atau hati? Sebagai seorang Islam, kita diajar supaya setiap bercermin kita disunatkan membaca doa berikut:
“Ya Allah, sepertimana Kau telah sempurnakan wajah ku, maka Kau sempurnakanlah pekerti ku.”
Ini menunjukkan bahawa menerusi doa ini Islam mengajar kita, jangan sekali-kali hanya melihat wajah lahir (muka) tetapi perlu melihat wajah batin kita (pekerti). Pekerti kita itulah hakikat diri kita yang sebenar.
Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan kedut, reput bahkan hancur akan dimamah ulat, cacing dan tanah. Tetapi diri kita yang hakikiki ialah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Apa yang dilihat dengan pandangan matahati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.”
Kata pantun Melayu:
Pisang emas bawa belajar,
Gunung Daik bercabang tiga
Hutang emas boleh dibayar,
Budi baik dikenang juga.